Sunday, February 7, 2016

#6 Mercun dan bunga api

Bunga api, kalau tengok dari jauh, cantik.

Kau nampak tersebarnya percikan api warna biru, merah, kuning, putih. Terpana sekejap kan. Bagai sorga. Kau duduk di dataran, atas bonet kereta, bersama dengan dia. Tengok itu, katanya. Cantik. Kau iyakan.

Indah bukan. Pada momen itu, kau rasa bagai masa terhenti. Hanya kau dan dia.


Bunga api, kalau tengok dari dekat, apa jadi.

Kau tak nampak warna, kau hanya nampak asap. Bunyi yang kuat. Kau kena dongak tinggi. Kadang asap pedihkan mata. Si dia kata, jom la, sakit kepala. Dia ajak jauh dari sana. Supaya tengok dari jauh, lagi sempurna.

Lain bukan. Pada momen itu, kau cuma mahu lari.


Mercun, kau pasang api lepas itu lari.

Biar ianya meletup, pang pang. Kau tengok dari jauh, sambil tutup telinga. Tapi hati rasa bangga, dapat elak selepas nyalakan api. Kawan di sebelah menjerit, weyy pasang lagi. Kau pun pergi, keluarkan lighter dan berlari.

Seronok bukan. Pada momen itu, kau cuma fikir bakar sahaja dan lari dari konsekuensi.


Mercun, kalau kau pasang tapi tak elak.

Meletup sebelah kau pun melompat. Jari melecur seluar berlubang. Selipar putus sambil kepala goyang. Kalau kau selamat, kau ketawa. Kelakar rasa. Kalau tak, mak dah keluar baling kelapa. Panggil ambulans selepas reda.

Lain bukan. Pada momen itu, kau cuma mahu lari.


Kelakarnya manusia. Yang jauh dia nampak seronok dan indah sekali. Kalau dah dekat dia mahu lari.


Lagi kelakar, walaupun sudah dekat, dia masih lihat yang jauh. Dan cycle ini berulang kembali.

No comments: