Thursday, July 5, 2012

Nasihat si pipit

Semalam petang aku pulang dari kerja, aku berhenti sebentar di tasik tepi rumah. Sudah lama aku tidak menikmati keindahan alam sekitar. Cantik tasik lagi lagi menjelang senja. Aku memerhatikan kanak kanak yang sedang bermain bola bergelak tawa tanpa risau tentang masa depan.

Sedang aku mengelamun, datang seekor pipit hinggap di bahu ku. Dia memandangku dan membuat muka simpati.

“Kau kenapa?” tanyanya dalam bahasa burung yang aku fahami secara tiba tiba.

“Aku sedih. Minggu depan dia nak ajak aku keluar. Aku mana setanding dengan dia.” balas aku dengan fasih.

“Kenapa kau kata macam tu? Kamu berdua kan dari spesies yang sama. Manusia. Mempunyai akal mempunyai nafsu.” cicit si pipit di tepi telinga. Aku melibas dia sedikit, kerana rimas. Dia lantas turun ke tapak tanganku.

“Aku sedih sebab aku tak kaya macam dia. Aku tak lawa macam ex dia. Aku tak genius macam dia. Perbezaan kami terlalu berbeda. Aku malu. Aku segan.” Jawabku dengan keluhan yang berat.

“Tapi dia sudah memilih engkau untuk keluar dating bersama bukan? Jadi mengapa kau risau?” kata pipit.

“Sebab walaupun dia memilihku, masih ada orang yang berkata-kata tentang kami. Mengatakan kami tidak sesuai bersama,” keluhan ku semakin menjadi. Si pipit nak berang. Dia menampar mukaku dengan kuat.

“Hoi manusia. Dalam dunia ini takde benda yang mustahil. Percaya cakap aku. Kerana aku pernah lalui benda yang sama kau lalui. Dulu percintaan aku dan isteriku dicemuh orang. Setiap manusia yang belajar bahasa melayu tahu kisah cinta kami. Tapi aku biarkan. Aku ikut kata hati. Kini, isteriku sudah bertelur berkali-kali. Membawa zuriatku.” cerita si pipit dengan panjang.

Aku tersentap kerana ditampar. Tanganku lantas ingin memicit si pipit sehingga mati tetapi aku tidaklah setangkas Goku. Si pipit terbang di depan mukaku.

“Baiklah, hari sudah senja. Aku ingin balik bersama isteriku. Astalavista bebeh,” seru si pipit berterbangan tinggi.

Aku memerhatikan sahaja si pipit terbang. Bersama isterinya, si enggang.


2 comments:

Unknown said...

hoho..nasihat pipit yg berguna...

ghost said...

shafa eman, fiksyen ni akan membuatkan seluruh warga mergastua melanggar norma kehidupan dorang. selama ni dorang anggap tabu, mungkin lepas nih dorang akan langgap prinsip.