Tuesday, May 29, 2012

Toffee




Ketinggian latitud membuatkan Amalina menjadi alpa seketika. Ini kali keduanya menaiki kapal terbang. Farid disebelah tersenyum sahaja, terasa bahagia dapat memberi kejutan istimewa kepada isterinya. Mereka berdua dalam perjalanan ke Ireland untuk bercuti selama seminggu. Melarikan diri sebentar dari kesibukan dunia, melarikan diri dari masalah yang menimpa.

5 tahun selepas perkahwinan mereka, tidak dikurniakan seorang cahaya mata pun. Pelbagai usaha dilakukan namun tiada yang membuahkan hasil. Lebih menyedihkan apabila Amalina disahkan menghidap tumor otak. Hancur luruh hati mereka berdua. Tetapi Farid nekad, untuk membahagiakan isterinya itu.

Sepanjang di Ireland, Farid cuba untuk membahagiakan Amalina. Sesekali apabila dia melihat Amalina termenung, dengan segera dia menceriakan Amalina. Satu ketika sedang mereka berjalan-jalan di sekitar kawasan County Down, dengan pemandangan Mountain of Mourne megah berwarna hijau, mereka temui sebuah kedai yang klasik binaannya.

Farid dan Amalina masuk kedalam kedai tersebut dan galak mata mereka dengan pilihan gula-gula yang banyak. Mencuba pelbagai perisa, mereka berdua jatuh cinta dengan perisa toffee. Lantas mereka membeli toffee dan makan bersama sambil bergelak tawa.

Didalam perjalanan pulang ke tanah air, Amalina murung kembali. Memikirkan keadaannya.

“Sayang, I nak tanya you satu soalan,” lembut nada Amalina kedengaran pada Farid.

“Ye sayang, tanya lah. I cuba jawab,” jawab Farid sambil tersenyum.

“Bila I pergi nanti, macam mana dengan you? Hidup seorang diri, gosok baju pun tak tahu. Semua I yang buat,” Amalina sempat berseloroh dalam nada yang agak serius.

“Tak apa sayang, I guna imaginasi. Hehe.” Farid menjawab sambil mencium dahi isterinya.

“Bila I pergi, jangan lupa I sayang.” Pesan Amalina lagi.

“Ish kita dah bincang banyak kali sayang. Dah, you sentiasa ada dalam hati I, tak mungkin hilang. I akan pastikan you terus hidup. I akan pastikan.”

“Macam mana you nak pastikan I hidup?” Amalina tidak berpuas hati. Doktor telah membeli keputusan yang mengejutkan beberapa minggu lepas. Amalina tidak akan mempunyai masa yang lama lagi.

“Imaginasi sayang. Imaginasi.” Jawab Farid sambil merangkul isterinya dengan erat. Bagai tidak mahu dilepaskan.

Sekembali mereka di kondominium mereka, Farid dan Amalina berehat selama dua hari sebelum meneruskan kehidupan seharian mereka seperti biasa. Disebabkan kondisi kesihatan Amalina, Farid tidak membenarkan isterinya bekerja. Maka Amalina hanya akan duduk didalam rumah dan menjaga keadaan rumah sahaja.

“Selamat pagi Encik Farid,” tegur Halim, budak penjaga pintu. Mesra sekali, memang begitu norma kerjanya.

“Selamat pagi Halim,” jawab Farid sambil tersenyum.

“Puan Amalina tak turun lagi ke?” Halim dan pekerja am di kondominium sudah maklum atas penyakit Amalina.

“Dia taknak turun. Hari ini saya nak belikan toffee. Sejak balik dari Ireland tu, dia kempunan toffee je.” balas Farid bersahaja.

Dua minggu sudah berlalu. Farid sentiasa membelikan toffee untuk Amalina. Tidak pernah lupa kegemaran isterinya.

“Sayang, I dah belikan toffee untuk you. Makanlah,” sapa Farid selepas pulang kerja.

Isterinya hanya memandang kosong keluar tingkap, masih mengenang nasib yang menimpa diri. Menggeleng kepala, Farid meletakkan bungkusan toffee di sebelah katil.

“I nak mandi kejap, malam ni you pakai lawa-lawa, I nak bawak you makan restoran mahal,”

“Tak apa lah sayang, I tak lapar. I makan kat rumah pun okay jugak,” balas Amalina.

Saban hari Farid berusaha untuk memujuk Amalina keluar dari rumah. Tiada guna walaupun pelbagai cara dan umpan digunakan.

“Encik Farid, hari ini pengurus bangunan suruh semua penghuni keluar. Ada sarang tikus katanya, dah panggil exterminator untuk bunuh tikus-tikus semua,” Halim memberitahu Farid pagi jumaat sebelum dia ke kerja.

Farid hanya mengangguk. Otaknya ligat memikirkan cara untuk memujuk Amalina keluar. Hari ini dia bercadang untuk membeli sedozen bunga ros dan gula-gula toffee kegemaran Amalina.

Pulang dari kerja, dia lihat Amalina sedang baring di atas katil seperti biasa. Selepas meletakkan briefcase, Farid duduk disebelah isterinya. Sambil mengusap rambut Amalina, dia mengucapkan kata-kata sayang dengan niat isterinya akan terbangun dari tidur.

“Sayang, I belikan you toffee. Rasanya sebijik rasa yang kita beli kat Ireland dulu,” Farid berkata sambil memalingkan badan Amalina. Amalina pusing, tersenyum menghadap suaminya.

“Terima kasih sayang. Letak lah kat tepi dulu. Eh, ada bunga sekali? Terima kasih lagi sekali,” jawab Amalina dengan lemah. Dari gayanya, dia sudah pasrah dengan keadaan dirinya.

“Asyik letak tepi je sayang, bila nak makan?

“Nanti-nanti I makan okay sayang. Teman baring sebelah I,” pinta Amalina dengan manja. Farid akur tanpa bicara.

Tiga jam kemudian, operasi membasmi tikus dijalankan. Halim dan pengurus bangunan mengetuai operasi tersebut. Mereka menuju ke rumah yang menjadi sarang tikus itu. Dengan menggunakan kunci spare, mereka membuka pintu rumah yang terkunci.

Mereka semua terkejut, melihat Farid sedang baring bersama satu badan yang sudah kaku. Badan yang sudah tiada nyawa, dimamah ulat dimamah serangga.

Farid terjaga kerana terkejut dengan tetamu yang tidak diundang.

“Shhh, senyap. Isteri saya sedang tidur. Tolong jangan ganggu,” bisik Farid kepada mereka semua.

Di sisi katil, gula-gula perisa toffee di kerumuni semut sejak entah bila.




2 comments:

The Other Derpina said...

sedih la plak. huhu

najeeha ghafar said...

:O hebatnya imaginasi dia...igtkan xbermula lagi imaginasinya..rupanya dah lama bermula... hats off..